arena

Hatrik penampilan sulung Silva

Oleh Reuters

MADRID: Penyerang Portugal, Andre Silva meledak hatrik dalam kemunculan sulung La Liga untuk menghadiahkan Sevilla kemenangan 4-1 ke atas Rayo Vallecano, awal pagi tadi selain turut muncul pemain pertama menghasilkan gol menggunakan video bantuan pengadil (VAR).

Franco Vazquez meletakkan Sevilla di depan seawal minit ke-15 selepas gol awal kedua-dua pasukan dibatalkan tanpa bantuan VAR, dan Silva menjarakkan kedudukan menerusi dua percubaan kemas daripada dalam kotak penalti sebelum separuh masa.

Silva menyertai AC Milan daripada Porto pada tahun lalu, namun hanya menyumbat dua gol sepanjang di Serie A sebelum kini berhijrah ke Sevilla, melengkapkan hatriknya pada minit ke-79 dengan satu lagi rembatan dekat.

Gol itu pada awalnya dibatalkan kerana dia dipercayai berada dalam kedudukan ofsaid, tetapi pengadil Antonio Mateu Lahoz kembali menarik keputusannya itu hasil bantuan VAR.

Lahoz turut menggunakan VAR ketika menghadiahkan Rayo penalti yang mana gol saguhati itu disempurnakan Adri Embarba.

Jaringan hatrik berkenaan menyaksikan Silva, 22, merakam lebih banyak gol dalam satu perlawanan La Liga berbanding 24 penampilan di Serie A, malah dia turut muncul pemain pertama selepas bekas penyerang Barcelona, Romario yang meledak hatrik dalam penampilan sulung La Liga 1993.

Kemenangan itu turut melonjak Sevilla ke persada liga berdasarkan kelebihan gol ketika Barcelona berada di belakang mereka hasil kemenangan 3-0 ke atas Alaves, semalam.

Sementara itu, Huesca yang juga pendatang baharu La Liga mengumumkan ketibaan mereka dengan penuh bergaya apabila menumpaskan Eibar 2-1 menerusi dua jaringan pemain tengah Alex Gallar.

Disiarkan pada: August 20, 2018 @ 9:07am
d