arena

Bertens puas tewaskan Halep di final

Oleh AFP

CINCINNATI: Pemain Belanda, Kiki Bertens mengambil kesempatan daripada kesilapan Simona Halep pada set ketiga dengan mencatat kemenangan terbesar dalam kariernya pada awal pagi tadi, menewaskan pemain nombor satu dunia itu 2-6, 7-6 (8/6), 6-2 di final Cincinnati Masters.

Simona, memenangi trofi Montreal pada minggu lalu dan memasuki final dengan rekod sembilan kemenangan berturut-turut, bagaimanapun gagal menyekat kemaraan Kiki.

“Saya tewas tiga final di sini tetapi mungkin saya boleh memenanginya sekali kerana saya suka bermain di sini,” kata Simona, yang tewas kepada Serena Williams pada perlawanan pemanas badan Terbuka Amerika Syarikat 2015 dan juga Garbine Muruguza dalam perebutan gelaran tahun lalu.

Perlawanan itu mengambil masa dua jam dan adalah kali ke-10 buat pemain ranking 17 dunia  itu menewaskan lawan daripada kelompok 10 terbaik dunia.

“Harapnya kami boleh bermain lebih banyak perlawanan seperti ini pada masa hadapan,” kata Kiki yang merangkul gelaran WTA keenamnya.

Kiki menyelamatkan satu mata perlawanan dalam set kedua penentuan bagi meneruskan saingan.

Simona pada mulanya kelihatan mahu mencatatkan kemenangan awal selepas dua kali melakukan break untuk mudah memenangi set pertama.

Namun pemain berumur 26 tahun dari Belanda itu yang memikirkan untuk bersara berikutan persembahan buruk pada musim lalu, mula bangkit pada set kedua dan melakukan break 3-1 bagi mendahului perlawanan.

Disiarkan pada: August 20, 2018 @ 11:27am
d