arena

Dah lali taktik kotor Indonesia 

Oleh Daripada Azidan Nahar dan Azlan Muhammad Zain

JAKARTA: Juara dunia, Al Jufferi Jamari sudah menyedari taktik kotor sering digunakan tuan rumah, Indonesia dalam acara silat namun tidak gentar menghadapi.

Sebaliknya, dia sudah bersedia berdepan apa saja cabaran yang akan dilontarkan pada saingan Sukan Asia kali ini.

Indonesia awal-awal lagi tetap bertegas untuk melakukan sistem undian secara elektronik yang dibimbangi Malaysia akan dimanipulasi dengan memberi kelebihan kepada mereka.

Justeru, Persekutan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) mahu undian dilakukan secara manual menerusi cabutan undi seterusnya boleh dilihat semua kontinjen.

“Kami sudah biasa dengan taktik Indonesia yang mahu memberi tekanan kepada Malaysia.

“Pada Kejuaraan Dunia di Bali tahun lalu mereka sudah menggunakan sistem ini dan keputusan memihak kepada mereka apabila berdepan lawan mudah.

“Jadi, ia tidak adil kepada lawan lain apabila terpaksa berdepan laluan sukar dan letih sebelum mampu ke final,” kata Al Jufferi.

Begitupun, dia meminta rakan sepasukan berhati-hati dalam menghadapi serangan secara psikologi itu.

Undian bagi acara berkenaan dijadualkan berlangsung pada 23 Ogos ini.

“Jika undian secara digital ini diteruskan, saya hanya mahu skuad negara berhati-hati dan bekerja keras seawal pusingan pertama,” katanya.

Silat buat pertama kali dipertandingkan di Sukan Asia dengan skuad kebangsaan menyasarkan untuk membawa pulang tiga emas, dua perak dan lima gangsa.

Disiarkan pada: August 20, 2018 @ 7:32pm
d