arena

Bale bukan Ronaldo

Oleh Reuters

MADRID: Gareth Bale membuka tirai jaringan Real Madrid dalam tiga musim La Liga sebelum ini tetapi dia ketika itu memainkan peranan selaku penyerang sokongan terhadap peledak utama, Cristiano Ronaldo.

Kini selepas ketiadaan penyerang bintang Portugal itu, yang juga penjaring terbanyak sejarah Real, bebanan untuk mengetuai jentera serangan gergasi Sepanyol itu kini terletak di bahu pemain berusia 29 tahun itu.

Atas bantuan Bale, Dani Carvajal menanduk masuk gol pembukaan Real ketika mencatat kemenangan 2-0 ke atas Getafe, semalam dalam aksi pembuka tirai La Liga sebelum pemain Wales itu menyumbat gol kedua.

Kemenangan adalah yang pertama buat jurulatih baharu, Julen Lopetegui sekali gus membuktikan pembandingan di antara Bale dan Ronaldo adalah semulajadi.

Tetapi pertahanan Nacho Fernandez menegaskan Bale mempunyai bakat yang tersendiri dan tidak perlu mengikuti langkah mana-mana pemain.

“Bukan persoalan mengenai dia mengikuti langkah Ronaldo,” kata Nacho. “Cristiano meninggalkan tanda untuk keseluruhan era di sini.

“Bale adalah pemain utama untuk kami ketika ini dan dia juga sudah memenangi banyak trofi bersama kami dan tidak perlu membuktikan kepada sesiapapun.

“Semua orang tahu mereka boleh bergantung harap kepadanya dan saya yakin dia akan terus beraksi dengan baik. Peminat menyokong penuh Bale dan dia amat gembira di Real. Kami memiliki beberapa penyerang menakjubkan di sini.”

Akhbar Sepanyol, Marca menggambarkan Bale sebagai yang terbaik.

“Dia yang terbaik, paling berbahaya, pemain paling menonjol di atas padang dalam perlawanan pembukaan La Liga buat Real, ia seperti melihat Ronaldo.”

Begitupun, ini kali pertama dalam kempen liga sejak perpindahan Ronaldo ke Juventus di mana Real mencatatkan kehadiran penonton terendah sejak 2009.

Pada perlawanan semalam, hanya 48,466 peminat yang membanjiri stadium yang memiliki kapasiti 90,000 tempat duduk, dengan rekod kehadiran terendah adalah 24 Mei 2009 lalu apabila hanya 44,270 kehadiran dicatatkan ketika Real tewas 1-3 kepada Mallorca.

Disiarkan pada: August 20, 2018 @ 9:43pm
d