arena

Welson pecah rekod kebangsaan 

KUALA LUMPUR: Welson Sim mungkin belum memenangi pingat di Sukan Asia 2018 tetapi perenang negara itu memenuhi impiannya dengan memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 800 meter (m) gaya bebas miliknya di Jakarta, Indonesia, hari ini.

Pada saingan di Kompleks Sukan Gelora Bung Karno itu, perenang kelahiran Sarawak itu mencatat masa 8:12.46 saat (s) sekali gus memecahkan rekod berusia tiga tahun dengan kelebihan 0.28s.

Begitupun, dia menamatkan saingan di kedudukan kelapan dan terakhir pada aksi final yang dimenangi perenang China, Sun Yang dengan catatan 7:48.36s.

Pingat perak dimenangi perenang Jepun, Shogo Takeda (7:53.01s) dengan perenang Vietnam, Nguyen Huy Hoang merangkul gangsa (7:54.32s).

Welson, 21, begitupun masih berpeluang untuk menamatkan penantian 16 tahun negara untuk memenangi pingat di kolam renang apabila beraksi dalam acara 400m, esok.

Jurulatih negara, Paul Birmingham percaya Welson boleh memenangi pingat jika dia mampu memecahkan rekod kebangsaan miliknya iaitu 3:49.48s.

Catatan terbaiknya dalam acara berkenaan ialah 3:49.65s sekali gus berada di ranking keempat menjelang saringan yang berlangsung di sebelah pagi esok.

Disiarkan pada: August 20, 2018 @ 9:45pm
d