arena

Kim Swee simpan sengat

Oleh Daripada Azidan Nahar dan Azlan Muhammad Zain

CIKARANG: Skuad bola sepak negara tidak menunjukkan taring sebenar pada aksi terakhir Kumpulan E apabila Datuk Ong Kim Swee merehatkan sebahagian besar pemain utama ketika tewas 2-3 kepada Bahrain, sebentar tadi.

Sedar keputusan menentang Bahrain tidak mengubah kedudukan sebagai juara kumpulan, Kim Swee hanya mengekalkan tiga pemain - Baddrol Bakhtiar, Adam Nor Azlin dan Muhammad Syahmi Safari - dalam  kesebelasan utama yang menumbangkan Korea Selatan, Jumaat lalu.

Malah, ia dilihat tindakan yang wajar selepas pemain utama bekerja keras dalam dua perlawanan awal selain barisan kejurulatihan Jepun turut dilihat bertandang ke Stadium Wibawa Mukti, di sini bagi mengintai permainan skuad negara.

Bahrain kendalian Samir Chammam lebih banyak menguasai perlawanan sebelum skuad negara mula mengatur gerak dan meledak menerusi rembatan kencang Syahmi Safari pada minit ke-20.

Ia membakar semangat pemain negara apabila berpeluang menggandakan kedudukan dua minit kemudian namun rembatan M Kogileswaran diselamatkan pertahanan lawan di garisan gol.

Ketika Malaysia mensia-siakan beberapa peluang, lawan kemudian menyamakan kedudukan menerusi Mohamed Hardan pada minit ke-33 selepas hantaran pertahanan negara, Adam Nor Azlin berjaya dipintas lawan.

Belum sempat Malaysia memperkemaskan permainan, Bahrain mendahului pada minit ke-37 menerusi tandukan kencang Hamad Alshamsan menewaskan Ifwat Kamal Chek Kassim buat kali kedua hasil sepakan penjuru.

Kim Swee cuba memburu gol penyamaan apabila menurunkan dua tonggak utama, Muhammad Akhyar Abdul Rashid dan Safawi Rasid pada babak kedua, namun tidak membuahkan hasil dengan lawan turut mengancam dengan menerusi beberapa percubaan berbahaya ke kubu negara.

Bahrain akhirnya menambah gol ketiga apabila Mohamed Harden meledak jaringan pada minit ke-89 sebelum Malaysia merapatkan kedudukan menerusi sepakan penalti Safawi pada masa tambahan.

Ia adalah perlawanan terakhir Malaysia dalam Kumpulan E selepas menewaskan Kyrgyzstan 3-1 serta Korea Selatan 2-1.

Malaysia akan menentang Jepun pada pusingan 16 terbaik Jumaat ini. 

Disiarkan pada: August 20, 2018 @ 10:14pm
d