arena

Atalanta buli Frosinone 

Oleh AFP

ALEJANDRO ‘Papu’ Gomez meledak dua gol dan melakukan dua umpanan tatkala Atalanta memberikan permulaan sukar buat pendatang baharu Serie A, Frosinone dengan mencatat kemenangan 4-0, awal pagi tadi.

Pemain Argentina itu menyumbat gol pada setiap babak untuk mencapai angka 50 gol sepanjang lapan musim, dengan perancang tengah pinjaman dari Chelsea, Mario Pasalic meraikan gol sulungnya sebelum Hans Hateboer melengkapkan kemenangan.

Ia adalah persiapan baik buat Atalanta, yang akan menemui FC Copenhagen dalam aksi playoff Liga Europa, Khamis ini.

“Musim ini bermula dengan baik,” kata Gomez selepas Atalanta kali pertama meraih kemenangan dalam aksi pembukaan liga sejak sedekad lalu.

“Beberapa tahun kebelakangan ini kami agak bergelut ketika permulaan. Saya turut gembira kerana berjaya mencapai 50 gol dalam Serie A – gol yang amat penting buat saya.”

Tiga pasukan terbaik musim lalu semuanya mencatat kemenangan dalam aksi pertama minggu ini diketuai Juventus yang menewaskan Chievo 3-2 meskipun Cristiano Ronaldo gagal menghasilkan gol dalam kemunculan sulungnya.

Naib juara tahun lalu, Napoli bangkit mengatasi Lazio 2-1 manakala Roma pula sekadar mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Torino.

Tetapi, Inter Milan – pasukan yang menduduki tangga keempat kempen lalu – mengalami kekalahan mengejut, apabila tumbang 1-0 di tangan Sassuolo.

Disiarkan pada: August 21, 2018 @ 10:37am
d