arena

Skuad takraw hampiri emas

Oleh BERNAMA

PALEMBANG: Skuad sepak takraw negara hanya selangkah untuk melakar sejarah baru bagi menuai emas pertama negara pada temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 apabila dengan mudah menundukkan Indonesia 2-0 pada saingan separuh akhir acara regu berpasukan, hari ini.

Pada aksi yang berlangsung di Ranau Hall, Bandar Sukan Jakabaring, Palembang, percaturan ketua jurulatih Abdul Talib Ahmad yang mengubah taktikal dengan menurunkan regu kedua negara pada susunan pertama ternyata membuahkan hasil apabila regu yang diketuai Mohd Syazreenaqmar Salehan tidak menghadapi sebarang masalah untuk menjinakkan regu pertama Indonesia dengan 21-17, 21-13.

Regu utama negara dibarisi oleh Mohammad Shahir Mohd Rosdi (tekong), Farhan Adam (pengumpan) dan Mohamad Azlan Alias (perejam) yang turun pada susunan kedua pula menghadapi tentangan sengit daripada regu kedua Indonesia yang diketuai oleh Hendra Pago.

Set pertama menyaksikan regu negara tunduk 16-21, namun hasil semangat dan iltizam yang tinggi, mereka bangkit untuk memenangi dua set berikutnya dengan catatan mata 21-18, 21-14 untuk mengesahkan tempat ke perlawanan akhir yang akan berlangsung esok.

Pada pentas akhir nanti, pertembungan umpama buku bertemu ruas apabila Malaysia akan berjumpa musuh tradisi dan juara bertahan Thailand yang mudah menjinakkan India 2-0 pada satu lagi saingan separuh akhir yang dijalankan serentak.

Disiarkan pada: August 21, 2018 @ 7:55pm
d