arena

'Sesi kelayakan penting'

Oleh Fadhli Ishak

KUALA LUMPUR: Penunggang MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah memberi penekanan terhadap sesi kelayakan dalam usahanya meraih keputusan positif pada perlumbaan Grand Prix (GP) Britain, hujung minggu ini.

Pelumba pasukan Monster Yamaha Tech3 itu yang tidak berjaya menamatkan saingan di GP Austria dalam kelompok pungutan mata minggu lalu, percaya Litar Silverstone lebih sesuai dengan jenteranya YZR-M1 berbanding sirkit di Red Bull Ring.

Rentak Hafizh di Austria diganggu berikutan prestasi buruknya ketika sesi kelayakan yang menyaksikannya memulakan saingan di petak ke-17.

“Yamaha nampaknya tidak berdepan begitu banyak kesukaran di sini (Silverstone), jadi saya berharap kami boleh meningkat berbanding perlumbaan terakhir bermula daripada sesi latihan pertama sehingga ke sesi kelayakan,” kata Hafizh.

“Kami mempunyai kelajuan yang bagus ketika perlumbaan, tetapi saya memerlukan permulaan yang lebih baik.

“Saya fikir kami mungkin berdepan sedikit kesukaran di sini (secara peribadi) kerana ini kali pertama saya menunggang jentera MotoGP, tetapi saya tidak sabar untuk ke sini dan bekerja keras dalam usaha mendapatkan perlumbaan yang bagus selain mendapat persediaan lebih baik ketika kelayakan.

“Saya mahu memberikan segala-galanya dalam usaha mendapatkan grid perlumbaan terbaik, cuba untuk mendapatkan permulaan yang baik dan cuba untuk belajar daripada pelumba yang lebih berpengalaman. Saya juga berharap keadaan cuaca di Silverstone baik.”

Hafizh yang mengharungi empat musim di Moto2 mencatat keputusan terpuji di Silverstone pada 2016 apabila dia memulakan perlumbaan di petak kelima dan menamatkannya di tempat keempat.

Pelumba kelahiran Ampang, Selangor itu begitupun gagal meneruskan prestasi baiknya itu tahun lalu apabila mencatat masa ke-21 terpantas sesi kelayakan dan menamatkan saingan di kedudukan ke-17.

Ketika ini, Hafizh menghuni tangga ke-16 kedudukan keseluruhan MotoGP dengan mengumpul 24 mata dan masih mengungguli carta pelumba baharu terbaik dengan kelebihan dua mata di depan pelumba Itali, Franco Morbidelli. 

Disiarkan pada: August 21, 2018 @ 8:09pm
d