arena

Liu Xiang lebur rekod dunia

JAKARTA: Perenang China, Liu Xiang mencatat rekod baharu dunia bagi acara 50 meter kuak lentang wanita pada temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, hari ini.

Perenang berusia 21 tahun itu mencatat masa 26.98 saat (s) - kali pertama perenang wanita melakukan catatan di bawah 27 saat bagi acara itu sekali gus meraih pingat emas.

Rekod terdahulu 27.06s dipegang oleh bekas juara dunia, Zhao Jing yang dilakukannya pada 30 Julai 2009.

Rekod bagi Sukan Asia pula dirakam oleh Gao Chang menerusi catatan 27.48s.

“Ini semua bagaikan mimpi. Saya tidak jangka dapat lakukannya kerana ini bukanlah acara kegemaran saya.

“Saya banyak menguatkan bahagian kaki beberapa bulan lalu, jadi mungkin itu yang menjadikan prestasi saya lebih baik,” katanya yang memenangi pingat gangsa bagi acara sama pada Kejuaraan Dunia 2015 di Kazan, Russia.

Seorang lagi atlet China, Fu Yuanhui meraih perak dengan catatan 27.68s sementara Sakai Natsumi dari Jepun memenangi gangsa dengan 27.91s. -Agensi

Disiarkan pada: August 21, 2018 @ 9:25pm
d