arena

'Takkan nak terus macam City kot...'

Oleh Reuters

LONDON: Arsenal masih menyesuaikan diri dengan gaya permainan diterapkan Unai Emery dan pengendali baharu perlu diberi lebih masa untuk menjayakan falsafahnya, kata pemain tengah kelab Liga Perdana itu Henrikh Mkhitaryan.

Kempen kelab Utara London itu bermula dengan kekalahan 2-0 di tangan juara bertahan Manchester City sebelum tumpas 3-2 kepada Chelsea hujung minggu lalu, dan kritikan mula dilontarkan kepada taktik Emery pada kedua-dua perlawanan berkenaan di mana pertahanan tampak longgar.

“Setiap orang mempunyai pendapat mereka. Kami tahu apa yang kami tampilkan dan bagaimana kami perlu bermain. Jika kami hanya menendang bola ke depan dan berharap Tuhan memberikan peluang untuk menjaringkan gol, ia tidak sepatutnya dilakukan,” kata Mkhitaryan.

“Apa yang kami perlu lakukan ialah bekerja keras, tingkatkan keyakinan diri dan menggunakan peluang untuk mencipta jaringan...hakikatnya kami mempunyai peluang.

“Mungkin kami belum cukup tajam untuk menjaringkan gol buat masa ini tetapi saya rasa ini baru beberapa perlawanan awal.”

Mkhitaryan memberi sokongan penuh kepada pengendali dari Sepanyol itu, yang menggantikan Arsene Wenger musim ini, untuk mendapatkan keseimbangan antara penyerang dan pertahanan.

“Emery mengekalkan falsafah permainan Wenger tetapi membina sesuatu yang baru daripadanya. Ia bukan mudah tetapi saya rasa dia melakukannya dengan cara yang betul,” kata pemain Armenia itu.

Arsenal akan melayan kunjungan West Ham United dalam aksi liga Sabtu ini.

Disiarkan pada: August 22, 2018 @ 12:17pm
d