arena

Kejutan trio bowling lelaki

Oleh Fabian Peter

KUALA LUMPUR: Sikap tidak berputus asa yang ditunjukkan Rafiq Ismail, Ahmad Muaz Fishol dan Timmy Tan nyata berbaloi selepas mereka menghadiahkan pingat perak menerusi acara bowling trio lelaki, hari ini.

Meskipun gagal menyamai pencapaian trio wanita yang meraih pingat emas dalam acara sama semalam, trio kedua negara itu mencipta kejutan apabila merakam 4,235 jatuhan pin untuk pingat kedua daripada kontinjen bowling.

Trio Jepun - Tomoyuki Sasaki, Shogo Wada dan Shusaku Asato - merangkul pingat emas menerusi 4,344 jatuhan pin sementara Singapura dengan gangsa menerusi 4,226 jatuhan pin.

Trio pertama yang dibarisi Adrian Ang, Alex Liew dan Syafiq Ridhwan Abdul Malek sekadar menamatkan saingan di tangga kesembilan selepas mencatat 4,147 jatuhan pin.

“Saya percaya kami ada sedikit kelebihan kerana menamatkan permainan lebih awal. Ini memberikan tekanan kepada pasukan lain yang mengetahui catatan kami dan perlu mengejarnya,” kata Rafiq yang turut merangkul pingat perak dalam acara berpasukan empat tahun lalu di Incheon, Korea Selatan.

“Satu pencapaian yang besar apabila dapat membawa pulang pingat dari Sukan Asia. Saya tujukan pingat ini kepada ahli keluarga, rakan dan yang paling penting buat rakyat Malaysia.”

Pemenang pingat gangsa pada Piala Dunia AMF tahun lalu, Ahmad Muaz mengakui sukar untuk kembali bangkit daripada kedudukan ke-10 pada pusingan kedua namun ketenangan nyata banyak membantu mereka.

“Kami hanya mengikut rentak kami. Sudah tentu kami perlu bersungguh pada pusingan kedua kerana perbezaan antara trio lain tidak begitu jauh.”

Menurut Timmy, format mata baharu yang digunakan membuatkan ia mudah untuk dimenangi sesiapa sahaja.

“Kami sentiasa mengingatkan sesama sendiri untuk fokus permainan dengan permainan. Menggunakan format mata baharu ini, tidak kisah berapa banyak anda melakukan strike.

“Kami mengambil masa untuk memberikan balingan yang baik. Sangat hebat untuk bangkit dan memenangi pingat perak,” katanya.

Semalam, trio wanita yang dibarisi Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi dan Esther Cheah memenangi pingat emas pertama buat kontinjen negara selepas mengungguli acara terbabit di Pusat Boling JSC, Palembang.

Disiarkan pada: August 23, 2018 @ 6:49pm
d