arena

Yan Yee beri yang terbaik 

Oleh Ferzalfie Fauzi

KUALA LUMPUR: Penerjun negara, Ng Yan Yee menegaskan dia tidak lagi gementar, sebaliknya bersedia untuk memberikan yang terbaik di Sukan Asia 2018 Jakarta Palembang.

Penerjun yang kembali beraksi selepas selesai menjalani penggantungan lapan bulan akibat gagal ujian doping di Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur itu juga mengakui sudah bersedia sebelum menyertai acara 3 meter papan anjal.

“Saya berharap semuanya berjalan lancar dan mengharapkan tuah menyebelahi saya kali ini,” kata penerjun berusia 25 tahun itu yang meraih pingat perak di Incheon 2014 dalam acara 3 meter papan anjal serirama bergandingan bersama Cheong Jun Hoong.

Jelasnya, kedua-dua acara iaitu individu dan seirama memang sangat penting buatnya, namun fokus lebih terarah kepada seirama kerana sudah lama tidak bergandingan bersama Nur Dhabitah Sabri.

“Kami mengharapkan yang terbaik sebab saya baru saja kembali bersama pasukan (selepas digantung) dan ia bukannya mudah untuk mencari persefahaman. Bagaimanapun, saya tidak mudah mengalah.

“Saya akan cuba berfikiran positif dan mengharapkan sokongan daripada semua pihak,” katanya yang turut meraih perak dalam acara 3 meter papan anjal seirama di Guangzhou 2010 ketika bergandingan bersama Leong Mun Yee.

Jika berjaya meraih perak lagi di Jakarta, Yan Yee bakal mencipta hatrik tatkala dia menyedari bahawa China berada di kelas tersendiri di Sukan Asia.

“Tiga negara lain yang mungkin menghalang hasrat saya untuk mencipta hatrik perak di Sukan Asia ialah penerjun dari Korea Utara, Jepun dan Korea Selatan,” katanya.

Acara terjun yang berlangsung di Pusat Akuatik Gelora Bung Karno akan membuka tirai Selasa ini dan menawarkan 10 emas.

Disiarkan pada: August 23, 2018 @ 7:02pm
d