arena

Ozil tak salah: Klopp

Oleh Reuters

LONDON: Pengurus Liverpool Juergen Klopp mempertahankan rakan senegaranya dari Jerman, Mesut Ozil dengan menyatakan bahawa kritikan yang diterima pemain tengah Arsenal itu kerana bergambar dengan Presiden Turki Tayyip Erdogan  berpunca daripada ‘salah faham’ dan sesuatu yang ‘mengarut’.

Ozil turut dikritik susulan persembahannya ketika Piala Dunia di Russia di mana pasukan juara bertahan itu tersingkir pada peringkat kumpulan, selepas pemain berusia 29 tahun itu meninggalkan bola sepak antarabangsa bulan lalu atas alasan perkauman dan tidak menghormati dirinya yang berketurunan Turki.

“Ia satu contoh klasik mengenai salah faham dan sudah pasti sesuatu yang mengarut,” kata Klopp kepada saluran televisyen Jerman Sport1.

“Dalam politik, perkara kecil sentiasa diperbesarkan dan perkara besar pula ditolak ketepi bagi memastikan ia dapat diteruskan.

“Biasanya orang bijak cuba menahannya kerana bukan mudah untuk bercakap perkara yang betul. Saya juga akan berbuat demikian. Hanya mereka yang tidak mempunyai idea akan lantang menyuarakannya.”

Ozil dan rakan senegaranya Ilkay Gundogan yang juga berketurunan Turki turut bergambar dengan Erdogan, menjadi mangsa ejekan penyokong Jerman pada perlawanan pemanas badan sebelum Piala Dunia.

“Saya tidak ragui mereka, sekurang-kurangnya mengenai kesetiaan terhadap negara kita. Apa yang membezakan adalah mereka mempunyai satu kelebihan iaitu dari segi warisan dan ia sesuatu yang indah,” kata Klopp yang pernah mengendalikan Gundogan yang kini bersama Manchester City.

“Kepelbagaian kebudayaan, kami sangkakan ia sesuatu yang menarik ketika Jerman menganjurkan Piala Dunia pada 2006, kini dua pemain ini pula tertarik dengan mereka yang bijak berpolitik untuk bergambar dan mempunyai peluang untuk memperkatakan apa yang mereka anggap 100 peratus betul.

“Sebab itu saya katakan perbincangan seperti ini hipokrit. Perkara buruk seperti ini berlaku kerana mereka tidak diberitahu dengan betul. Malah media juga tidak sepatutnya memperbesarkan perkara seperti ini. Tenang dan lihat siapa di sebalik semua ini." 

Disiarkan pada: August 23, 2018 @ 8:35pm
d