arena

V Shem, Wee Kiong mara

Oleh Daripada Azidan Nahar dan Azlan Muhammad Zain

JAKARTA: Kekecewaan dalam aksi berpasukan dibalas skuad badminton negara yang meneruskan pemburuan dua pingat dalam acara individu di Sukan Asia 2018 bermula hari ini dengan semua beregu mara ke pusingan kedua, sebentar tadi.

Mereka diterajui pasangan beregu lelaki nombor satu negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang tidak berdepan masalah menundukkan pasangan Thailand, Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh 21-15, 21-16.

Gandingan terbabit akan berdepan pasangan kurang ternama di pusingan kedua sebelum bertemu pasangan nombor satu dunia yang juga wakil tuan rumah, Kevin Sanjaya Sukamuljo-Marcus Fernaldi Gideon di suku akhir.

“Perlawanan hari ini agak mudah kerana lawan kami tidak begitu memberikan cabaran tetapi ada sedikit masalah angin yang kuat semasa dalam gelanggang.

“Perkara itu mungkin akan menyukarkan kami semasa berjumpa pemain ternama lain.

“Bagi saya perlawanan esok akan menjadi medan terbaik untuk mempersiapkan diri sebelum bertemu mereka (Kevin-Marcus),” katanya.

Turut melangkah ke pusingan kedua ialah pasangan beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, Goh Soon Huat-Shevon Lai dan pasangan beregu wanita, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyasarkan dua pingat di Sukan Asia dengan beregu lelaki dan beregu campuran menjadi sandaran utama dalam temasya kali ini.

Disiarkan pada: August 23, 2018 @ 9:15pm
d