arena

Saya akan terus mencuba - Emery

Oleh AFP

UNAI Emery bertegas permulaan buruk Arsenal musim ini tidak akan menghalangnya daripada terus mengubah corak permainan pasukannya.

Emery dikritik kerana terlalu cepat menukar taktik Arsenal selepas pasukannya itu tewas kepada Manchester City dan Chelsea dalam dua perlawanan awal Liga Perdana Inggeris musim ini.

Dengan Arsenal akan melayan kunjungan West Ham esok, pertemuan tetangga London dengan anak buah Manuel Pellegrini, yang turut tewas pada dua perlawanan pertama menawarkan peluang buat Emery meredakan keadaan.

Pengendali dari Sepanyol itu mengharungi musim pertamanya di Stadium Emirates selepas menggantikan Arsene Wenger dan antara langkah pertamanya ialah menukar corak permainan yang diterapkan bekas pengendali itu.

Wenger sering menerapkan sistem serangan habis-habisan yang sering membuatkan mereka terdedah di bahagian pertahanan, manakala Emery lebih gemar corak permainan pantas dan sentiasa mengasak.

Bekas pengendali Paris Saint-Germain itu juga mahu penjaga gol dan pertahanannya memulakan gerakan dengan hantaran-hantaran pendek dari belakang, walaupun ketika diasak pihak lawan.

Gaya ini menyebabkan Arsenal sering terperangkap dalam situasi sukar, tetapi Emery yakin ia hanyalah masalah sementara yang hilang dengan sendiri.

“Dalam proses kami, kami akan mengharungi 38 perlawanan menentang semua pasukan sama ada anda melawan Manchester City, ia sama seperti pertemuan dengan West Ham Sabtu ini,” kata Emery.

“Ada tiga mata pada perlawanan ini. Jelas sekali setiap perlawanan memerlukan taktikal berbeza. Selepas dua perlawanan pertama, kami tewas dan kami perlu menang ke atas West Ham.”

 

Disiarkan pada: August 24, 2018 @ 9:02am
d