arena

'Alonso antara pelumba hebat'

Oleh AFP

SPA-FRANCORCHAMPS, Belgium: Lewis Hamilton menyifatkan bekas rakan pasukannya, Fernando Alonso adalah pelumba terhebat yang memberikan saingan sepanjang kariernya. 

Pendahulu perlumbaan itu berkata, ia sesuatu yang menyedihkan buat juara dunia dua kali dari Sepanyol itu – yang minggu lalu mengumumkan akan meninggalkan Formula Satu pada akhir musim ini – tidak mendapat kejayaan selayaknya.

“Sudah pasti dalam dunia permotoran dia akan dirindui,” kata Hamilton. “Dia memainkan peranan besar dalam sukan ini dan antara pelumba terhebat yang pernah bersaing dalam F1. 

“Saya boleh katakan ia adalah sesuatu yang menyedihkan kerana dia tidak mencapai kejayaan sepatutnya berdasarkan kemampuan yang dimilikinya, tapi sukan ini membabitkan mesin yang sangat menarik dan ia bukan hanya berkenaan pemandu yang hebat. 

“Ia adalah bagaimana anda bergerak dan bagaimana anda mengendalikan permainan ini. Ia seperti permainan catur dan bagaimana anda meletakkan posisi anda pada setiap situasi berbeza kerana ia adalah sebahagian daripada pakej perlumbaan ini.

“Boleh dikatakan bahawa dia adalah pelumba yang hebat yang pernah bersaing dengan saya dan semoga terus berjaya selepas ini.”

Alonso menamatkan penguasaan juara dunia tujuh kali Michael Schumacher ketika dia merangkul gelaran juara dunia pertama pada tahun 2005 dan 2006 bersama Renault serta menjadi pelumba termuda bergelar juara. 

Dia turut menjadi pelumba termuda memenangi perlumbaan pada tahun 2003 bagaimanapun rekodnya itu sudah diatasi.

Alonso pernah bergandingan bersama Hamilton di McLaren pada musim 2007 namun masalah yang timbul menyebabkan mereka ditewaskan Kimi Raikkonen dari Ferrari.

Selepas itu kariernya mula merudum apabila dia berpindah bersama pasukan yang gagal memberikan saingan kompetitif, Renault dan kemudiannya Ferrari serta McLaren.

 

Disiarkan pada: August 24, 2018 @ 12:42pm
d