arena

Ancelotti teruja jumpa Milan

Oleh AFP

MILAN: Carlo Ancelotti berdepan pertemuan penuh emosi sebagai jurulatih Napoli apabila turun menentang kelab lamanya AC Milan esok, sementara Cristiano Ronaldo akan membuat penampilan pertama di Turin pada perlawanan kedua Serie A. 

Ancelotti menghabiskan sebahagian besar kariernya di AC Milan dengan pengendali berusia 59 tahun itu berjaya menjulang tiga gelaran Serie A dan empat gelaran juara Eropah sebagai seorang pemain dan jurulatih bersama gergasi utara itu. 

Sebelum tugasnya sebagai jurulatih di Itali berakhir dengan kejayaan menjulang sembilan trofi, dia pernah bersama Chelsea, Paris Saint-Germain, Real Madrid dan Bayern Munich dan kemuncaknya adalah di Milan. 

Ia seperti pertemuan dengan kawan lama Gennaro Gattuso dan Paolo Maldini di Milan, di mana mereka bergandingan memenangi Liga Juara-Juara terakhir bersama kelab itu pada tahun 2007. 

“Ia satu yang hebat dapat bertemu dengan kawan baik yang pernah menghabiskan masa bersama anda,” kata Ancelotti di Twitter selepas mengakui betapa kerinduan yang amat sangat mendorongnya kembali ke Itali. 

“Saya terlalu ingin kembali ke Itali dan bercakap bahasa Itali semula. Kedua, saya yakin dengan projek yang diatur kelab,” kata Ancelotti.

“Saya harap dengan pengalaman yang ada ini dapat membantu mereka ke peringkat terakhir. 

Naib juara Serie A, Napoli hampir memenangi gelaran juara liga yang pertama sejak tahun 1990 pada musim lalu. 

Kali pertama Ancelotti berdepan Milan sebagai musuh adalah 17 tahun lalu selaku jurulatih Juventus.

Perlawanan berkesudahan dengan kemenangan 3-0 buat pasukan Turin dengan rekod ke atas Milan kini menjadi empat menang, tiga seri dan dua kalah.

Sejak meninggalkan San Siro pada tahun 2009, Milan hanya menjulang satu gelaran Serie A pada tahun 2011, ketika itu di bawah kendalian Massimiliano Allegri yang kini bersama Juventus.

Di Turin, Ronaldo akan memburu gol sulungnya untuk juara bertahan tujuh kali itu, menentang Lazio yang masih mencari kemenangan pertama selepas tewas kepada Napoli pada aksi pembukaan. 

 

 

 

Disiarkan pada: August 24, 2018 @ 3:16pm
d