arena

Nicol harapan, olahraga buka tirai

Oleh Daripada Azidan Nahar dan Azlan Muhammad Zain

SUKAN Asia yang masuk hari kelapan hari ini menyajikan saingan semakin menarik ketika kontinjen negara masih mencari kilauan emas kedua.

Di Gelora Bung Karno acara olahraga akan bermula dengan dua atlet lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa dan Lee Hup Wei diharapkan mampu melangkah ke final berdasarkan persembahan terbaik mereka.

Tumpuan juga terarah kepada atlet pecut, Khairul Hafiz Jantan yang memegang rekod kebangsaan 10.17 saat serta Jonathan Nyepa dalam acara 100 meter lelaki dan Zaidatul Husniah Zulkifli dalam acara wanita.

Walaupun jauh daripada harapan memenangi pingat, mereka boleh melakukan sesuatu terutama dalam mencatat rekod kebangsaan yang baharu.

Di Pusat Skuasy Gelora Bung Karno, Datuk Nicol David dilihat boleh melepasi peringkat separuh akhir apabila akan menentang pemain kurang ternama India.

Perseorangan lelaki, Nafiizwan Adnan juga boleh melepasinya namun tugas berat menanti pemain remaja, S Sivasangari yang akan menentang pemain berpengalaman India, Chinnapa Joshna.

Istora Senayan tampak akan menjadi pentas sukar buat perseorangan badminton negara, Lee Zii Jia yang  akan bersendirian mengibar cabaran negara pada pusingan kedua menentang wakil Korea, Son Wan-Ho.

Beregu lelaki juga berdepan laluan berliku apabila Ong Yew Sin-Teo Ee Yi akan menentang pasangan utama Jepun, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda.

Cuma Goh V Shem serta Tan Wee Kiong dijangka boleh melepasi halangan awal apabila menentang beregu kurang ternama dari Nepal.

Disiarkan pada: August 25, 2018 @ 8:04am
d