arena

Sut 'Black Panther' Serena dianggap melampau

Oleh AFP

SERENA Williams tidak dibenarkan lagi memakai sut hitam 'Black Panther' di Terbuka Perancis selepas ketua Roland Garros menyifatkan pakaian itu sebagai ‘melampaui batas’.

Penampilan bintang Amerika Syarikat berusia 36 tahun itu ketika di Paris tahun ini mendapat perhatian apabila dia menggayakan pakaian ketat berwarna hitam yang diilhamkan daripada filem ‘Black Panther’ dan membuatkannya merasa seperti seorang ‘pahlawan wanita’.

Ia turut menggambarkan pakaian itu sebagai ‘menyeronokkan dan berfungsi’, Serena menegaskan ia membantu menghalang gumpalan darah yang mengancam nyawanya selepas melahirkan anak tahun lalu daripada berulang.

Bagaimanapun, Persekutuan Tenis Perancis (FFT) menegaskan pakaian atau apa saja yang menarik perhatian tidak dibenarkan di Roland Garros pada musim 2019.

“Saya percaya ada kalanya kita sudah melampaui batas,” kata Presiden FFT Bernard Giudicelli.

“Sebagai contoh pakaian yang dipakai oleh Serena tahun ini tidak lagi dibenarkan. Anda perlu menghormati permainan ini dan tempat pertandingan. Setiap orang mahu menikmati perlawanan.”

Giudicelli berkata bahawa terdapat ‘had tertentu’ daripada segi syarat pemakaian yang perlu dipatuhi pada Terbuka Perancis 2019 sambil mengakui ia mungkin sukar untuk diterima.

“Untuk tahun depan, ia mungkin sedikit terlewat kerana koleksi sudah siap direka tapi kami masih lagi meminta pengeluar peralatan untuk berbincang dengan kami,” katanya.

 

Disiarkan pada: August 25, 2018 @ 10:12am
d