arena

Safawi luah rasa perit

Oleh Daripada Azidan Nahar dan Azlan Muhammad Zain

 

PENYERANG negara Safawi Rasid jelas tidak bernasib baik untuk menambah koleksi jaringannya apabila gagal menggegar gawang Jepun malam tadi.

Dua peluang keemasan yang dimilikinya ketika perlawanan berbaki 10 minit sekadar menggegar palang dan tiang lawan pada perlawanan pusingan kedua itu.

"Sangat kecewa kerana ia peluang keemasan saya untuk menjaringkan gol namun tidak berhasil. Sebagai penyerang, saya perlu tajamkan lagi semua kekurangan ini,” kata Safawi.

Jepun berjaya mendapatkan penalti selang beberapa minit selepas dua percubaan Safawi sekali gus menewaskan skuad negara 1-0.

"Perit sekali...kita sudah bertahan dan menyerang. Malah selepas mereka menjaringkan gol, kita terus menyerang. Tekanan memang sedikit tinggi kerana ia peringkat kalah mati. 

“Berbeza ketika menentang Korea Selatan dalam aksi kumpulan. Tapi tiada siapa harus dipersalahkan..kita menang bersama, tewas juga sebagai sebuah pasukan," katanya.

Safawi yang sudah meledak empat gol berkata, mereka berjaya mengimbangi permainan lawan pada separuh masa kedua namun tidak menemui sentuhan penyudah.

"Kita mengikut perancangan taktikal jurulatih dan berjaya memberi saingan. Mungkin perbezaan antara kami adalah tahap keyakinan dan tidak bernasib baik," katanya.

Disiarkan pada: August 25, 2018 @ 1:41pm
d