arena

Misi wajib menang: Fred

Oleh Reuters

MANCHESTER United perlu menewaskan Tottenham Hotspur di Old Trafford Isnin ini bagi menebus kekalahan mengejut di tangan Brighton and Hove Albion, serta memastikan mereka berada dalam kelompok pesaing kejuaraan Liga Perdana Inggeris, kata pemain tengahnya Fred.

United tewas 3-2 di Brighton hujung minggu lalu dan mula ketinggalan di belakang penyandang juara yang juga pendahulu, Manchester City serta kelompok teratas lain - Liverpool, Tottenham dan Chelsea - yang merakam kemenangan penuh selepas dua perlawanan musim ini.

“Kami tahu Tottenham adalah pasukan yang hebat tetapi kami perlu mendapatkan kemenangan jika mahu menjuarai liga... ia perlawanan yang penting,” kata pemain baharu United itu.

Pemain Brazil itu bermula baik di Old Trafford dengan kemenangan 2-1 ke atas Leicester City tetapi pemain 25 tahun itu berkata skuad bimbingan Jose Mourinho itu ketinggalan dalam semua aspek ketika bertemu Brighton di Stadium Amex.

“Liga Perdana adalah liga hebat dan banyak pasukan hebat, dan Brighton tampil lebih baik berbanding United.

“Untuk perlawanan seterusnya kami mahu lebih fokus dan kami mahu menang supaya kami boleh berada dalam kelompok pesaing kejuaraan,” kata bekas pemain Shakhtar Donetsk itu.

 

Disiarkan pada: August 25, 2018 @ 3:15pm
d