arena

Alonso mahu Horner minta maaf

Oleh AFP

PEMANDU McLaren Fernando Alonso berharap bos Red Bull, Christian Horner akan memohon maaf secara peribadi kepadanya hujung minggu ini kerana mengatakan dia membawa pengaruh buruk.

Ketika pertelingkahan berkenaan tawaran Red Bull kepada pemandu Sepanyol yang menghampiri persaraan itu untuk tempat dalam Formula Satu musim depan berlanjutan, pandangan kedua-dua pihak mendapat liputan media.

Alonso mendakwa dia menerima dua tawaran tahun ini daripada Red Bull, satu daripadanya diterima awal bulan ini selepas Daniel Ricciardo memutuskan untuk meninggalkan Red Bull untuk bersama Renault, dan secara keseluruhan tujuh tawaran diterimanya.

Horner pula dalam sidang media berkata, Red Bull tidak pernah menawarkan tempat kepadanya untuk musim 2019 dan tidak pernah berunding dengan pemandu itu sejak 2007.

“Ingin saya jelaskan tiada sebarang tawaran diberikan kepada Fernando Alonso untuk tahun depan,” kata Horner.

“Fernando seorang pelumba yang hebat tapi dia sudah memilih haluannya.”

Menurut Horner, pemilik baharu F1 dari Amerika, Liberty Media sebelum ini bertanya adakah Red Bull sedia mempertimbangkan untuk mengikat juara dunia dua kali berusia 37 tahun itu.

“Memang ada pertanyaan sama ada kami akan mengikat Fernando, dan anda boleh faham ia adalah dari sudut pandangan penganjur.

“Jika dia boleh berada dalam kereta yang kompetitif, saya pasti mereka mungkin mahu dia kekal. Saya tidak mengharapkan mereka melakukan sesuatu yang berbeza,” katanya. 

Alonso bagaimanapun tampil menjelaskan yang dakwaan Horner itu tidak benar.

"Saya mendapat tawaran dari Red Bull pada 2007, 2009, 2011, 2013, dan dua kali tahun ini, satu di Monaco dan sekali bulan ini,” kata Alonso.

Ägak mengejutkan apabila mereka berkata yang saya suka menimbulkan masalah serta susah untuk bekerjasama.

“Pertama – mereka tidak pernah bekerja dengan saya, dan kedua, mereka cuba mendapatkan saya beberapa kali sepanjang tujuh tahun lalu, dan kini mereka mendakwa yang mereka setia dengan program serta komitmen kepada pemandu muda mereka.

“Ia pelik dan tidak adil buat saya. Saya ada menulis kepada Christian selepas dakwaannya itu musim panas lalu. Dia memohon maaf menerusi e-mel, saya harap dia minta maaf sekali lagi hujung minggu ini.”

 

Disiarkan pada: August 25, 2018 @ 3:32pm
d