arena

Wolverhampton, City terikat

WOLVERHAMPTON: Manchester City bangkit daripada ketinggalan untuk meraih keputusan 1-1 ketika bertemu pendatang baru Liga Perdana Inggeris, Wolverhampton Wanderers yang dilihat benar-benar menguji juara liga itu di Molineux, hari ini.

Wolverhampton yang muncul juara Liga Kejuaraan musim lalu menampilkan permainan berkualiti dengan pertahanan, Willy Boly meletakkan mereka di depan menerusi tandukan pada minit ke-57.

City bagaimanapun menyamakan kedudukan menerusi Aymeric Laporte pada minit ke-69 berpunca daripada sepakan percuma Ilkay Gundogan sekali gus menjadi gol pertamanya bersama kelab itu.

Sebelum itu, City hampir meledak gol tetapi dua cubaan Sergio Aguero serta Raheem Sterling sekadar terkena palang gol.

Pengurus City,  Pep Guardiola bagaimanapun tetap menyifatkan anak buahnya beraksi dengan baik untuk meraih satu mata.

“Kami mencipta banyak peluang tetapi penjaga gol lawan kerap menafikannya. Jadi akhirnya kami perlu berpuas hati dengan keputusan seri.

“Kami tahu mereka adalah antara pasukan yang bagus pada musim ini.

“Pada separuh masa pertama Aguero hampir menyumbang gol tetapi terkena palang. Inilah bola sepak, kadangkala anda bernasib baik dan sebaliknya.

“Tapi saya akui kami tidak bertahan dengan begitu baik yang menyebabkan lawan berjaya menjaringkan gol. Secara keseluruhan saya rasa kualiti permainan kami lebih baik berbanding lawan,” katanya - Reuters

 

Disiarkan pada: August 25, 2018 @ 10:40pm
d