arena

Aryna raih kejuaraan sulung

Oleh Reuters

CONNECTICUT: Pemain muda Belarus, Aryna Sabalenka memenangi gelaran perseorangan WTA pertamanya selepas mengalahkan pemain Sepanyol, Carla Suarez Navarro 6-1, 6-4 di Terbuka Connecticut yang menjadi kejohanan pemanas badan sebelum Terbuka AS minggu depan.

Kejayaan itu membolehkan pemain berusia 20 tahun itu melonjak ke tangga ke-20 dunia selepas muncul juara termuda di New Haven sejak Caroline Wozniacki melakukannya pada 2010.

“Ini satu perasaan yang sangat hebat,” kata Aryna. “Saya akan terus berusaha keras, mempamer kebolehan yang saya ada dan dari situ kita akan lihat kemampuan saya.”

Selepas memenangi lima perlawanan pertama di set pembukaan, Aryna mematahkan dua servis Carla. Dia menamatkan set pertama di perlawanan ketujuh menerusi pukulan kilas selepas ketinggalan 30-0.

Carla yang pernah menduduki kelompok 10 teratas dunia, cuba bangkit di set kedua dan mendahului 2-1 dan berjaya mengikat Aryna dengan kedudukan 4-4.

Pada perlawanan kesembilan, Carla dilihat bakal menang tetapi Aryna memilih untuk melihat semula rakaman servis lawannya itu pada kedudukan 40-15 dan ternyata bola itu keluar.

Bintang Belarus itu kemudian mendahului 5-4 tetapi Carla tidak menyerah kalah dan cuba bangkit mengejar.

Final kali ini adalah yang ketiga di sepanjang kariernya. Aryna tewas di tangan Maria Sharapova di Tianjin tahun lalu dan ditundukkan Caroline di Eastbourne awal tahun ini.

“Saya tidak memiliki apa-apa perancangan,” kata Aryna. “Saya hanya terus bermain dan melawan setiap pencabar. Saya baru berusia 20 tahun dan ini adalah kejuaraan pertama saya. Memang seronok.”

Disiarkan pada: August 26, 2018 @ 9:57am
d