arena

Siti Rahmah tak mengalah

Oleh Rodly Fadly

SRIKANDI silat negara, Siti Rahmah Mohamed Nasir akan menimbang semula hasratnya untuk bersara ekoran kegagalan memenangi pingat emas Sukan Asia Jakarta-Palembang.

Walaupun kecewa namun ia turut membakar semangat Siti Rahmah untuk terus aktif bagi menebus kegagalan itu jika masih dipilih mewakili negara pada kejohanan antarabangsa lain.

Juara dunia tiga kali (2012, 2015 dan 2016) itu mengaku tidak berpuas hati dengan persembahannya kelmarin kerana yakin mampu melakukan yang lebih baik.

“Ini bukan prestasi terbaik saya, ada beberapa kesilapan saya lakukan terutama pada pusingan pertama. Ada juga beberapa jatuhan yang disahkan kemudian ditarik balik oleh juri disebabkan peraturan baru yang diperkenalkan.

“Saya tidak menghadapi masalah menyesuaikan diri dengan kategori Kelas D kerana sudah membuat persiapan rapi sebelum ke sini.

“Saya bekerja keras sepanjang latihan, merawat kecederaan dan menurunkan berat badan untuk beraksi di sini tapi ternyata bukan rezeki saya kali ini. Maafkan saya,” kata Siti Rahmah.

Pesilat berusia 31 tahun itu tewas 0-5 kepada peserta Vietnam, Thi Cham Nhi di suku akhir sekali gus meranapkan impian kontinjen negara yang menaruh harapan tinggi kepadanya.

“Saya tahu ramai yang kecewa dengan kegagalan saya. Sudah tentu saya lebih-lebih lagi kerana sejak awal saya menaruh impian untuk memenangi emas.

“Ini adalah penyertaan pertama saya di Sukan Asia dan saya jangka juga penyertaan terakhir berdasarkan faktor umur saya sekarang.

“Malah, seperti pernah saya nyatakan, saya berhasrat untuk bersara selepas Sukan Asia 2018. Tapi, dengan kegagalan ini, saya akan menimbangkan semula hasrat itu.

“Kontrak saya bersama ISN (Institut Sukan Negara) masih ada sehingga Disember 2019. Jika ISN dan PESAKA (Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia) masih memerlukan khidmat serta memberi peluang, saya bertekad menebus kegagalan itu,” ujar Siti Rahmah

Disiarkan pada: August 26, 2018 @ 12:20pm
d