arena

3 mata lebih penting!

Oleh Azizan Hashim 

MEHMET Durakovic tetap berpuas hati biarpun Perak hanya mencapai kemenangan tipis 1-0 ke atas Kuala Lumpur di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan, malam tadi. 

"Pemain beraksi baik dan kami menguasai sebahagian besar permainan. 

"Malah, kami boleh menang dengan jurang lebih besar tetapi hanya berjaya menjaringkan satu gol, " katanya. 

Pada perlawanan terakhir Piala Malaysia kumpulan A di gelanggang sendiri itu, gol kemenangan Perak disumbang oleh kapten, Nasir Basharuddin pada minit ke-18.

Selepas ini The Bos Gaurus akan berkelana ke Kuala Terengganu pada 2 September dan diikuti pertemuan dengan FELCRA FC Stadium Cheras pada 15 September. 

Hasil kejayaan semalam, Perak berada di kedudukan kedua kumpulan A di belakang Terengganu dengan mengutip tujuh mata. 

"Saya lega kerana kami semakin kukuh di tangga kedua selepas merakam kemenangan ini.

"Masih ada dua perlawanan untuk diharungi dan saya harap pemain mampu kekalkan momentum, " katanya lagi. 

Jurulatih dari Australia itu berkata, Perak akan hadapi perlawanan demi perlawanan dan membuat percaturan berdasarkan kemampuan lawan ditemui. 

"Tempoh rehat beberapa hari yang ada akan digunakan untuk merawat kecederaan serta pemulihan pemain," katanya. 

 

Disiarkan pada: August 26, 2018 @ 6:34pm
d