arena

SuperKIP sedia bangkit

Oleh Daripada Sukhairi Thani di Silverstone

 

SILVERSTONE: Pelumba Moto2 negara, Khairul Idham Pawi mendedahkan kesukaran dialami terutamanya pada awal saingan musim 2018.

Namun pelumba kelahiran Kampung Gajah, Perak itu mengakui kesakitan dialaminya sejak musim lalu  kini sudah pun pulih selepas menjalani pembedahan pada awal tahun ini.

"Sekiranya diikutkan (selepas 11 pusingan musim 2018), ada peningkatan berbanding catatan sepusingan saya dengan tahun lalu," kata pelumba IDEMITSU Honda Team Asia itu yang bakal menyertai PETRONAS Sepang Racing bagi musim depan.

"Tahun lalu, saya mengalami 'arm pump' (kesukaran melakukan cengkaman) dan melakukan pembedahan pada awal tahun ini. Tahun lalu juga sukar untuk saya belajar (Moto2)," kata juara di Grand Prix (GP) Argentina dan Jerman dalam kelas Moto3 pada tahun 2016 itu.

"Disebabkan 'arm pump' itu, susah untuk menunggang kerana selepas empat pusingan, sukar untuk saya mengawal jentera. Tahun ini selepas pembedahan, saya semakin OK."

Khairul Idham atau dikenali sebagai SuperKIP bakal beralih ke pasukan PETRONAS Sepang Racing dalam kelas sama tahun depan namun menjelaskan, ada misi yang harus dilakukan pada baki tujuh pusingan musim ini.

"Saya mahu tamatkan musim ini dengan lebih kuat lagi," katanya yang setakat ini mengumpul satu mata dalam kedudukan keseluruhan Moto2.

"Saya harus bersiap sedia untuk memberikan yang terbaik dan cuba memperbaiki diri dan juga memahami jentera dengan sebaik mungkin."

 

Profil

Nama: Khairul Idham Pawi

Tempat lahir: Kampung Gajah, Perak

Tarikh lahir: 20 September 1998 (20 tahun)

Nombor jentera:89

Pasukan: IDEMITSU Honda Team Asia

Pasukan musim depan:  PETRONAS Sepang Racing

Pencapaian:

Juara: 2016 - GP Jerman, GP Argentina (Moto3)

Musim lalu: Ke-27 keseluruhan (Moto2) dengan 10 mata

Disiarkan pada: August 26, 2018 @ 8:25pm
d