arena

Nicol terbaik!

Oleh Daripada Azidan Nahar dan Azlan Muhammad Zain

 

JAKARTA: Pada usia 35 tahun, Datuk Nicol David terus membuktikan kejaguhannya apabila menumbangkan pemain remaja negara, S Sivasangari di pentas final.

Ia terus mengukuhkan reputasinya sebagai terbaik di pentas Asia dan Malaysia pada hari ulang tahun kelahirannya ke-35 hari ini.

"Ia amat bemakna bagi saya kerana Sukan Asia terakhir bagi diri saya. Sentiasa bangga dan teruja apabila meraih emas untuk Malaysia," jelasnya yang meraih emas kelima individu di Sukan Asia.

Ia turut menjadikannya atlet Malaysia paling berjaya dalam sejarah Sukan Asia dengan tujuh emas keseluruhan termasuk dua acara berpasukan.

Bagaimanapun ia bukan tugas yang mudah bagi ratu skuasy negara kerana terpaksa beraksi dalam lima set (11-13, 11-9, 5-11, 11-6, 11-8) sebelum meraih emas individu kelimanya di Sukan Asia.

"Saya sedar final ini akan menjadi sukar kerana dia (Sivasangari) sudah mendapat rentak apabila menundukan dua lawan di ranking lebih tinggi sebelum ke final.

"Ketika ketinggalan 1-2 (set), saya perlu memberikan semua pengalaman yang dimiliki pada set keempat dan rentak itu berjaya diteruskan.

"Saya sendiri bangga dengan pencapaiannya di sini. Apa yang pasti pasukan Malaysia amat kuat dengan pemain seperti Sivasangari. Semua pihak sudah memainkan dengan kini pemain berkualiti sudah muncul seperti dia," katanya.

Acara berpasukan wanita dan lelaki akan diteruskan esok.

Disiarkan pada: August 26, 2018 @ 8:30pm
d