arena

Figueroa 'lebih sudu' dari Mora

Oleh Zulfaizan Mansor

KELAB Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menjelaskan Luciano Figueroa lebih memainkan peranan sebagai ketua jurulatih pasukan itu berbanding Benjamin Mora.

JDT menerusi satu kenyataan di Facebook rasmi kelab, JOHOR Southern Tigers mendedahkan beberapa sebab utama Figueroa dilantik sebagai pengurus dan ketua jurulatih.

Antara sebab yang dinyatakan adalah kehadiran bekas pemain kelahiran Argentina itu memberi impak yang sangat besar di dalam bilik persalinan.

“Terdapat banyak hentaman yang ditujukan kepada Mora tetapi hakikatnya beliau hanyalah pembantu Figueroa.

“Figueroa terbabit dalam sesi latihan selama lebih setahun dan pengurusan yakin bahawa beliau mempunyai apa yang diperlukan untuk membawa pasukan ini lebih maju ke hadapan.

“Beliau juga lebih memahami cara kerja di kelab ini dan untuk persiapan saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) pada tahun 2019, mungkin lebih baik untuk mempunyai individu yang sudah biasa dengan kelab.

“Figueroa bermain di peringkat tertinggi sewaktu di Argentina dan beberapa kelab Eropah, jadi pengalaman beliau akan digunakan oleh kelab kami,” kata kenyataan itu.

Pada 9 Ogos lalu, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan JDT mendaftarkan Mora sebagai pengendali baharu pasukan itu bagi menggantikan Raul Longhi.

Justeru, berdasarkan kenyataan terbaru daripada JDT seakan menunjukkan Figueroa bertindak sebagai ketua jurulatih di belakang tabir, walaupun di atas kertas jawatan itu milik Mora.

Dalam kenyataan sama, kelab berkenaan menjelaskan enggan mengambil jurulatih baharu bagi mengelak berlaku perbelanjaan yang besar.

“JDT perlu memperketatkan perbelanjaan pada tahun 2019 kerana dua penaja sudah menarik diri,” jelas kelab itu.

Disiarkan pada: August 26, 2018 @ 8:53pm
d