arena

Laluan sukar skuad hoki

Oleh Daripada Azidan Nahar dan Azlan Muhammad Zain

 

JAKARTA: Skuad hoki negara memilih jalan sukar untuk melangkah ke final selepas tumpas 1-4 kepada Pakistan dalam aksi Kumpulan B sebentar tadi.

Malaysia kini mengumpul sembilan mata dengan Pakistan sebaliknya sudah meraih salah satu tiket ke separuh akhir dengan mengumpul 12 mata.

Malaysia yang dilihat tidak mempunyai masalah meraih tiga mata menentang Oman pada aksi terakhir, dijangka bertemu pendahulu Kumpulan A, India pada separuh akhir.

Negara Asia Selatan itu kini menghuni ranking kelima dunia.

"Mereka meledak jaringan apabila ada dua pemain kita diarahkan keluar oleh pengadil kerana dilayangkan kad. Ia mengubah rentak perlawanan, “ kata jurulatih negara, Stephen Van Huizen.   

"Kita seharusnya boleh meledak beberapa gol pada peringkat awal  namun sebaliknya berlaku. 

"Sudah pasti sukar kerana kita dijangka berdepan India (separuh akhir) nanti namun kita akan bertemu Oman dulu.

"Saya harap kita dapat lakar kejutan seperti Sukan Asia 2010. Kita bukan pasukan pilihan namun berjaya menang perak."  

Malaysia kini berada pada kedudukan kedua Kumpulan B, terikat sembilan mata dengan Bangladesh namun dibezakan dengan jumlah jaringan.

Namun Bangladesh dijangka akan berdepan kesukaran melakar kemenangan apabila dijadual bertemu Pakistan pada aksi terakhir Kumpulan B pada Selasa.

Pada aksi di Padang Hoki GBK sebentar tadi, jaringan tunggal Malaysia hadir pada minit ke-10 menerusi Faiz Helmi Jali.

Pakistan yang dilihat menguasai permainan membuka jaringan seawal minit kelima menerusi Muhammad Irfan.

Skuad negara seolah-olah hilang punca apabila lawan terus melancarkan serangan dan meledak tiga lagi gol menerusi Ajaz Ahmad (m-37 dan m-46) dan Mubashar Ali (m-42).

Pemenang emas Sukan Asia 2018 akan meraih tiket automatik ke Olimpik Tokyo 2020.

Disiarkan pada: August 26, 2018 @ 11:32pm
d