arena

Torino tak lepas Inter

Oleh AFP

MILAN: Inter Milan yang dilabel antara pencabar utama untuk meraih kejuaraan Serie A musim ini, gagal mempertahankan kelebihan dua gol selepas sekadar seri 2-2 ketika menentang Torino sekali gus menyaksikan pasukan bimbingan Luciano Spalletti itu hanya meraih satu mata daripada dua perlawanan awal.

Penyandang juara, Juventus pula menumpaskan Lazio 2-0 dan naib juara musim lalu, Napoli bangkit dari ketinggalan dua gol untuk mengatasi AC Milan 3-2, Sabtu lalu.

Inter yang kembali beraksi di Liga Juara-Juara musim ini selepas menamatkan saingan di tempat keempat, tumpas mengejut 0-1 kepada Sassuolo pada aksi pembukaan.

Aksi di San Siro menyaksikan penjaring terbanyak dari Argentina musim lalu, Mauro Icardi mencipta peluang jaringan kepada Ivan Perisic pada minit keenam sebelum tandukan Stefan de Vrij menjelmakan gol kedua, 32 minit kemudian. 

  Bagaimanapun, pasukan bimbingan Spalletti seakan hilang fokus dengan Andrea Belotti menjaringkan gol pertama Torino pada minit ke-60 hasil kesilapan penjaga gol, Samir Handanovic sebelum pemain yang baru dibeli, Soualiho Metie menambah jaringan lapan minit kemudian. 

  Perisic hampir menambah jaringan pada minit akhir perlawanan namun diselamatkan Salvatore Sirigu dan membolehkan Torino membawa pulang mata pertama mereka musim ini selepas tumpas aksi sulung 0-1 kepada AS Roma minggu lalu.

  Inter ketika ini ketinggalan lima mata di belakang Juventus dan Napoli.

  “Memang sukar untuk menjelaskan bagaimana kami boleh melepaskan jaringan seperti itu namun secara realiti kami bergelut dengan tekanan,” kata Spalletti.

Sementara itu, SPAL terus melakukan kejutan, apabila mencatat kemenangan kedua selepas mengalahkan Parma 1-0.

Sepakan voli Mirco Antenucci empat minit selepas rehat membolehkan SPAL meraih mata maksimum menumpaskan bekas Juara Antara Juara UEFA itu.

Disiarkan pada: August 27, 2018 @ 10:42am
d