arena

Adam kecewa hilang momentum

Oleh Daripada Sukhairi Thani di Silverstone

 

SILVERSTONE: Kekesalan turut dirasai pelumba Moto3 negara, Adam Norrodin apabila semua perlumbaan Grand Prix (GP) British terpaksa dibatalkan susulan hujan berlanjutan yang menyumbang kepada masalah air bertakung di litar Silverstone, semalam.

Ekoran masalah itu, perlumbaan kelas perdana MotoGP yang memecah tradisi di awalkan bagi mengelak cuaca hujan, terpaksa ditunda sehingga kira-kira enam jam sebelum penganjur Dorna, Persatuan Pasukan Perlumbaan Antarabangsa (IRTA) dan pelumba memutuskan untuk membatalkan perlumbaan atas faktor keselamatan.

Pelumba PETRONAS Sprinta Racing, Adam yang akan menyertai Kejuaraan Remaja Moto2 Eropah (CEV) tahun depan meluahkan kekecewaannya dengan pembatalan itu apatah lagi sesi dia mencatat masa positif pada sesi kelayakan dan bakal bermula daripada petak ke-15.

“Perlumbaan terpaksa dibatalkan atas faktor keselamatan pelumba dan juga keadaan permukaan trek yang teruk,” kata Adam.

“Saya kecewa memandangkan sesi kelayakan saya agak baik dan bakal memulakan saingan daripada petak ke-15. Saya juga mempunyai keyakinan untuk berlumba di sini.

“Saya dapat merasakan keyakinan untuk berlumba dalam keadaan trek basah tetapi saya terpaksa akur dengan keputusan.”

Pusingan ke-13 musim 2018 dijadual berlangsung di San Marino dan bagi Adam, dia tidak akan berputus asa dalam memburu mata di Sirkit Misano, 9 September nanti.

“Untuk pusingan seterusnya, saya akan cuba melakukan yang terbaik dan harap ia akan memihak kepada kami,” kata Adam.

Disiarkan pada: August 27, 2018 @ 12:48pm
d