arena

'Saya tetap optimis 7 emas...'

Oleh Daripada Azidan Nahar dan Azlan Muhammad Zain

 

JAKARTA: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman masih optimis sasaran tujuh emas masih mampu dicapai dengan Sukan Asia hanya berbaki seminggu lagi.

Malaysia terlepas tiga emas hari ini apabila taruhan utama, Mohd Al-Jufferi Jamari kecundang di pentas final selain seorang lagi pesilat negara, Muhammad Faizul Mohd Nasir turut tewas kepada tuan rumah.

Skuad trek berpasukan negara diketuai Azizulhasni Awang yang melakar rekod baharu Sukan Asia semasa aksi kelayakan turut kecundang di final kepada China.

Lebih memburukkan keadaan, Pandelela Rinong turut menarik diri daripada Sukan Asia susulan kecederaan belakang semasa latihan.

"Apa saja boleh berlaku.Ada sukan yang tidak disangka atau diletakkan sasaran emas namun berjaya.

"Pada hari mendatang, kita masih mempunyai Azizulhasni (keirin dan pecut individu), skuasy berpasukan dan silat masih mempunyai empat wakil," katanya.

Terdahulu beliau hadir di Padepokan Pencak Silat, Taman Mini Indonesia Indah (TMII) bagi menyaksikan final dua pesilat negara.

Biarpun Al-Jufferi tewas angkara ketidakadilan juri, Syed Saddiq turut memberikan kata-kata semangat, malah memujuk atlet berkenaan yang berkali-kali meminta maaf atas kekalahan itu.

"Atlet sudah berusaha sebaik mungkin, jangan sesekali salahkan mereka. Saya turun sebagai penyokong dan bangga dengan pencapaian dia. Jangan mengalah terus maju ke depan kerana dia adalah juara dunia dan banyak lagi pencapaian  mampu diraihnya.

"Kita akan teruskan memburu emas dalam silat kerana masih ada wakil di final pada Rabu nanti," katanya.

Sejak temasya bermula secara rasmi pada 18 Ogos lalu, Malaysia mengumpul dua emas menerusi ratu skuasy, Datuk Nicol David serta trio bowling wanita iaitu Esther Cheah, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman dan Syaidatul Afifah Badrul Hamidi.

 

Disiarkan pada: August 27, 2018 @ 7:32pm
d