arena

Peluang Lang Merah julang Piala Presiden

Oleh Izzali Ismail

ALOR SETAR: Semangat kekuatan yang ada pada Helang Merah menjadi perangsang dalam usaha skuad Piala Presiden Kedah memburu kejuaraan di pentas final Piala Presiden menetang Terengganu FC III di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Cheras, Rabu ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) , Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang turun ke padang Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Malik petang tadi, meninjau persiapan akhir skuad berkenaan berkata peluang keemasan yang hadir ini harus direbut Kedah selepas hampir 15 tahun tidak dimenangi.

"Semangat yang ada pada Helang Merah menjadi simbol kekuatan yang perlu ada pada semua pemain dalam usaha mencapai kemenangan kali ini di pentas final."

"Ini satu peluang keemasan yang kita perlu 'rampas' kembali sejak kali terakhir kita menjulang piala ini pada 2003 iaitu 15 tahun lalu dan dengan persiapan yang saya lihat, saya yakin Kedah mampu mencapai kemenangan kali ini."

Skuad Piala Presiden Kedah layak ke peringkat akhir dengan agregat 4-2 selepas menewaskan tuan rumah Felda United 3-0 pada 16 Ogos dan kemudian tewas 1-2 pada perlawanan  kedua di Darul Aman pada 20 Ogos lalu.

Mukhriz juga berkata pihak KFA melihat ramai bakat muda dari skuad Piala Presisen ini akan ‘dinaiktaraf’ atau dinaikkan ke pasukan utama selepas ini dan KFA akan memantau  pemain yang  layak kerana pasukan utama perlukan suntikan pemain muda yang baharu pada musim depan."

"Kita akan pantau dan perhati siapa yang akan layak kerana kita perlukan suntikan pemain yang baharu atau cergas untuk bantu pasukan utama pada musim depan."

"Pentas final ini merupakan salah satu ruang yang akan jadi pemerhatian kita seterusnya dan saya harap semua pemain dapat 'pulun' dengan bersungguh-sungguh dengan semangat pasukan yang kuat bersama-sama ketua jurulatih agar piala dapat kita bawa balik ke Darul Aman tahun ini."

Mukhriz juga memaklumkan pihak KFA sedang berusaha mengadakan perancangan kerjasama dengan kelab luar negara seperti Cardiff City, Perth Glory dan pasukan lain termasuk dari Sarajevo, Bosnia dan berharap pemain berusaha lebih gigih supaya dapat dipilih dan dihantar untuk latihan di luar negara.

"Kita akan pilih pemain yang menunjukkan prestasi yang baik dan kita akan hantar mereka yang terpilih ke sana untuk latihan seperti mana kita lakukan membabitkan beberapa pemain sebelum ini."

"Hubungan dengan pasukan luar ini sangat penting untuk kita keluar sikit dari zon selesa  dan apa yang kita belajar adalah apabila kita balik nanti, pengalaman dan pelajaran itu memberi kelebihan  untuk kita berbanding pasukan pasukan lain."

 

 

ALOR SETAR Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Mukhriz Mahathir (baju merah tengah) meluangkan masa melihat persiapan terakhir pasukan Piala Presiden Kedah pada sesi latihan di Padang SMK Tunku Abdul Malik, Alor Setar, petang tadi. STR / IZZALI ISMAIL

Disiarkan pada: August 27, 2018 @ 10:16pm
d