arena

'Hormatlah sikit United'

Oleh AFP

MANCHESTER: Pengurus Manchester United, Jose Mourinho mahu dirinya dihormati biarpun selepas mengalami kekalahan teruk di laman sendiri dengan dua gol daripada Harry Kane dan satu gol Lucas Moura membantu Tottenham menang 3-0 di Old Trafford.

Kekalahan kedua berturut-turut itu memberi lebih tekanan kepada jurulatih Portugal berkenaan apabila United kini mengekori Spurs, Liverpool dan Chelsea dengan perbezaan enam mata serta empat mata di belakang juara bertahan, Manchester City.

Berita mengenai Mourinho yang berisiko kehilangan jawatannya mula diperkatakan minggu ini dengan jurulatih itu didakwa berselisih pendapat dengan naib pengerusi eksekutif kelab, Ed Woodward mengenai kekurangan pemain baru.

Bagaimanapun, beliau mengetepikan kritikan dengan menjadikan rekod kemenangan tiga kali Liga Perdana yang pernah dibawanya sepanjang dua musim di Chelsea.

“Saya memenangi lebih banyak Liga Perdana secara sendirian berbanding 19 pengurus lain secara keseluruhan. Tiga bagi saya, dua bagi mereka. Sila hormat!” kata Mourinho yang marah terhadap wartawan selepas tamatnya perlawanan.

Mourinho menerima tepukan di depan penyokong sendiri di Old Trafford selepas tamat perlawanan dan tidak ramai peminat yang mengejeknya.

“Hari ini saya mempunyai bukti yang mana hakim terbaik adalah penyokong,” kata Mourinho.

 

 

Disiarkan pada: August 28, 2018 @ 8:33am
d