arena

2 slot pemain tempatan jadi rebutan

Oleh Farah Azharie

KUALA LUMPUR: Dua slot menjadi rebutan pemain tempatan untuk menyertai senarai 78 pemain yang akan beraksi di kejohanan golf CIMB Classic di TPC Kuala Lumpur di Bukit Kiara dari 11 hingga 14 Oktober ini.

Kejohanan itu bakal menyaksikan penampilan seorang pemain negara yang menjuarai Kejohanan Kebangsaan CIMB dari 25 hingga 28 September manakala seorang lagi berdasarkan ranking terbaik dunia.

Juara bertahan, Pat Perez dari Amerika Syarikat akan kembali untuk mempertahankan kejuaraan di kejohanan yang akan menampilkan 60 pemain profesional itu dan menawarkan hadiah keseluruhan AS$7 juta (RM28.7 juta).

Naib Presiden dan Pengarah Eksekutif Jelajah PGA, Todd Rhinehart berkata pihaknya tidak bercadang untuk membawa kejohanan itu keluar dari Malaysia.

 "Kami mempunyai kerjasama yang baik dengan CIMB dan kerajaan Malaysia serta syarikat lain," katanya pada majlis pelancaran kejohanan itu di Menara CIMB, hari ini.

 "Saya melihat banyak lagi perkara positif yang boleh dicapai dan ia akan berterusan.”

 Kejohanan yang mendapat pengiktirafan Jelajah Asia dan Persatuan Profesional Golf Malaysia itu akan kembali menghangatkan West Course TPC yang sebelum ini ditutup selama setahun.

 "Kami sangat teruja kerana lapangan ini dibuka semula dengan banyak perubahan dilakukan," katanya.

 

Disiarkan pada: August 28, 2018 @ 8:18pm
d