arena

Vardy, Cahill 'tinggalkan' England

Oleh AFP

LONDON: Penyerang Leicester City, Jamie Vardy dan pertahanan Chelsea, Gary Cahill mengumumkan persaraan dari pentas antarabangsa bersama England tetapi kedua-duanya menyatakan kesediaan untuk kembali sekiranya diperlukan untuk kes-kes tertentu.

Vardy dan Cahill kedua-duanya adalah sebahagian daripada skuad bimbingan Gareth Southgate yang melangkah ke separuh akhir Piala Dunia di Russia.

Namun kedua-dua mereka hanya memperoleh peluang minimum dan percaya masanya sudah tiba untuk memberi tumpuan kepada kelab masing-masing.

"Apabila anda terpilih sudah tentu anda ingin turun beraksi. Jika anda sering menjadi pilihan kelab begitu juga situasi yang dimahukan apabila beraksi bersama England," kata Vardy yang hanya sekali beraksi dalam kesebelasan utama ketika bertemu Belgium pada saingan peringkat kumpulan.

"Jika ia tidak berlaku, secara peribadi saya berasakan adalah lebih baik untuk berehat menghabiskan masa bersama keluarga dan menjalani latihan bersama kelab."

Vardy hanya melakukan penampilan pertama di pentas antarabangsa pada tahun 2015 selepas menghabiskan hampir kebanyakan kariernya di liga bawahan.

Dia menjaringkan tujuh gol sepanjang 26 penampilan bersama England.

"Southgate berkata saya masih mampu memberi sumbangan dan pintu tidak tertutup sepenuhnya. Sekiranya berlaku perkara seperti kecederaan di dalam pasukan, saya sedia untuk kembali," kata Vardy.

Cahill  pula berkata: "Sekarang saya rasa sudah tiba masanya untuk bersara. Saya berbangga dengan apa yang sudah saya capai sepanjang 60 penampilan bersama England.

"Saya juga pernah mengetuai pasukan beberapa kali dan ia adalah penghormatan besar.

"Tapi jika diperlukan pada masa depan, saya sedia menerimanya."

Disiarkan pada: August 29, 2018 @ 1:17am
d