arena

Diaz hangatkan kembali kem Real

Oleh AFP

LYON: Real Madrid mengesahkan mereka sudah menandatangani semula penyerang Mariano Diaz dari kelab Perancis, Lyon dengan nilai 33 juta euro (RM159.44 juta), semalam.

Perjanjian itu dilaporkan selama lima tahun selepas melepaskan pemain berkenaan berpindah ke Lyon musim panas lalu dengan nilai hanya 8 juta euro (RM38.65 juta).

Diaz, pemain Sepanyol yang lahir di Republik Dominica adalah produk akademi Real tampak sedia untuk menyertai Sevilla sebelum gergasi La Liga itu memutuskan untuk kembali mendapatkan khidmatnya berdasarkan perbincangan tahun lalu.

Pemain berusia 25 tahun itu menyinar di Perancis musim lalu apabila menjaringkan 18 gol dan membuat tujuh umpanan bagi membantu Lyon menamatkan saingan di kedudukan tiga terbaik Ligue 1.

Keputusan itu turut menyaksikan Lyon memperoleh tiket ke saingan Liga Juara-Juara.

Real berkata, majlis bagi memperkenalkan kembali Diaz akan dilakukan esok.

Di bawah perjanjian itu juga, Lyon akan menerima 15 peratus daripada sebarang perjanjian yang dibuat oleh Real bagi pemain itu pada masa depan.

Disiarkan pada: August 30, 2018 @ 8:58am
d