arena

Everton, Watford mara, Newcastle 'bungkus'

Oleh AFP

LONDON: Permulaan buruk Newcastle United pada musim ini berterusan apabila dipalit kekalahan 1-3 kepada kelab Liga Kejuaraan, Nottingham Forest sekali gus tersingkir pada pusingan dua Piala Liga, awal pagi tadi.

Begitupun, dua lagi kelab dalam saingan elit Liga Perdana Inggeris, Everton dan Watford meneruskan rentak baik tanpa kalah musim ini dengan masing-masing menang ke atas Rotherham dan Reading untuk mara ke pusingan ketiga.

Bos Newcastle, Rafa Benitez dikritik hebat susulan pendekatan negatif yang dilakukannya ketika tewas kepada Chelsea dalam aksi liga Ahad lalu yang menyaksikan kelab dengan julukan Magpies itu hanya mengutip satu mata daripada tiga aksi liga.

Benitez melakukan tujuh perubahan ketika kunjungan ke City Ground tetapi ia jelas tampak tidak menjadi apabila tuan rumah membuka tirai jaringan menerusi tandukan Daryl Murphy seawal minit kedua.

Ketika jaringan itu seperti cukup untuk mengesahkan kemaraan Forest, Newcastle menyamakan kedudukan menerusi jaringan Salomon Rondon selepas dua minit memasuki masa kecederaan.

Begitupun, kealpaan pertahanan Newcastle dihukum apabila tuan rumah menyumbat dua lagi gol berselang dua minit selepas itu untuk membawa mereka ke peringkat 32 terbaik.

“Saya tidak setuju yang Forest pasukan yang lebih baik dan saya tidak bimbang dengan corak permainan kami,” kata Benitez.

“Kami tidak mencipta begitu banyak peluang jadi kami perlu meningkat ketika menyerang dan terus bekerja keras.

“Ia musim yang panjang, kami tahu ia akan menjadi sukar tetapi kami mempunyai keyakinan terhadap diri kami.”

Everton dalam pada itu tidak berdepan banyak masalah untuk mara dengan dua gol disumbatkan oleh Gylfi Sigurdsson dan Dominic Calvert-Lewin untuk membawa skuad kendalian Marco Silva mara menerusi kemenangan 3-1 di Goodison Park.

Watford mungkin sudah memenangi tiga perlawanan berturut-turut dalam kempen liga tetapi skuad kendalian Javi Gracia itu tetap mengancam sekali pun 11 pertukaran dibuat untuk menang 2-0 ke atas Reading.

Disiarkan pada: August 30, 2018 @ 10:11am
d