arena

Cruz tak sabar tambah derita Selangor

Oleh Asrol Awang

HAMPIR dua bulan diketepikan akibat kecederaan, penyerang Pahang, Patrick Cruz sudah sedia kembali memperkasakan jentera serangan apabila bertemu Selangor di Stadium Darul Makmur, Sabtu ini.

Pemain berasal dari Brazil itu berkata, tempoh rehat panjang kesan daripada kecederaan pangkal paha kanan membuatkannya teruja untuk membantu skuad Tok Gajah mengisi slot suku akhir Piala Malaysia.

"Saya sudah pulih sepenuhnya dan sedia untuk merobek gawang Selangor kerana memiliki pengalaman manis apabila bertemu Selangor.

"Saya menjaringkan dua gol, masing-masing satu ketika bertemu Selangor iaitu kami menang 3-1 dalam Liga Super dan 2-0 pada aksi final Piala FA.

"Saya tidak sabar untuk bermain bersama rakan sepasukan kerana kemenangan ke atas Red Giant akan mengesahkan Pahang ke suku akhir. Namun, terpulang kepada jurulatih (Dollah Salleh) untuk membuat pilihan," katanya.

Semalam, pemain berumur 25 tahun itu menamatkan sesi latihan bersama rakan sepasukan dan membuktikan dia cergas dan sedia menggalas tugas selaku penyerang.

Dalam kempen Piala Malaysia, walapun skuad Tok Gajah merekodkan dua kemenangan dan dua keputusan seri, ketumpulan jentera serangan mengundang kebimbangan Dollah.

Namun, penampilan semula Cruz mampu menambah ketajaman di bahagian serangan ketika bahagian tengah dan pertahanan mempamer persembahan menyakinkan.

Sementara itu, Dollah nyata gembira dengan kehadiran Cruz yang diharap menambah ketajaman di bahagian serangan selepas mengharungi empat perlawanan.

"Jika sebelum ini saya bimbang dengan ketumpulan serangan. Saya boleh berasa lega dan percaya kembalinya Cruz memperkasakan jentera hadapan.

"Tapi, saya perlu membuat pilihan terbaik kerana hanya empat pemain import yang dibenarkan beraksi dalam saingan Piala Malaysia," katanya.

Selain Cruz, skuad Pahang turut dibarisi empat lagi pemain import iaitu Austin Amutu, Mohamadou Sumareh, Safuwan Baharudin dan Issey Nakajima.

Disiarkan pada: August 30, 2018 @ 11:50am
d