arena

'Ronaldo pergi, Bale sedia ganti...'

Oleh AFP

LONDON: Pengurus Wales Ryan Giggs percaya Gareth Bale boleh menyerap tekanan untuk mengambil tugas bintang Cristiano Ronaldo di Real Madrid.

Bale yang menjadi penyerang utama Real sejak Ronaldo berpindah ke Juventus pada musim panas lalu menjaringkan gol pada awal kempen La Liga menewaskan Getafe dan Girona.

"Apabila seseorang seperti Ronaldo pergi, sudah pasti siapa yang akan menggantikannya akan mendapat perhatian sama ada dia boleh menggalas tugas sebagai penggempur dan penjaring gol," kata Giggs.

"Ia tugas berat untuk diisi namun Bale mempunyai pengalaman kerana sudah lama bersama kelab itu. Setiap tahun dia berdepan tekanan dan dia berjaya mengawalnya dengan baik."

Giggs berkata, perpindahan Ronaldo bakal mencetuskan persoalan siapa yang akan menjaringkan gol.

Namun beliau menambah: "Bale sudah mempamerkan kualiti di perlawanan besar jadi dia boleh menggalas apa saja tugas yang diberikan kepadanya."

Bale menjadi penjaring terbanyak Wales pada awal tahun ini apabila dia menyumbat gol antarabangsa ke-29 untuk mengatasi rekod Ian Rush.

Bale, 29, yang menyertai Real dari Tottenham pada 2013 menjadi antara tonggak 25 pemain skuad Wales ke Kejohanan Liga Negara-Negara UEFA menentang Ireland dan Denmark.

"Dia bermula musim ini dengan baik," kata Giggs. "Tapi dia tidak pernah bermain teruk. Saya fikir masalah Gareth apabila dia cedera saja. Tapi bila dia bermain, dia selalu beraksi dengan baik dan menjaringkan gol."

Disiarkan pada: August 30, 2018 @ 7:23pm
d