arena

Hoki harap tuah 'merdeka' di final

Oleh Daripada Azidan Nahar dan Azlan Muhammad Zain

 

JAKARTA: Tiada apa yang lebih menggembirakan skuad hoki negara di ambang Kemerdekaan ke-61 Malaysia apabila menewaskan India menerusi penentuan penalti sebentar tadi.

Misi skuad negara untuk layak ke Olimpik 2020 yang pada mulanya dianggap mustahil ketika berdepan pasukan kelima dunia itu kini kembali terhidang.

"Kita bermain dengan penuh disiplin. Kita melakukan banyak analisis, melihat rakaman video dan idea dari pemain senior bagaimana mahu menghadapi India," kata ketua jurulatih negara, Stephen Van Huizen. 

"Kita mempertahankan gawang dengan baik apabila lawan mendapat pukulan sudut penalti dan mengambil peluang apabila terhidang."

Dia bagaimanapun mengingatkan pemain supaya tidak terlalu meraikannya seperti pada edisi 2010 apabila pertama kali mara ke final namun akhirnya terpaksa akur dengan pingat perak.

"Kita perlu fokus. Misi seterusnya adalah meraih emas dan tiket Olimpik 2020. Tidak kira siapa lawan, ia adalah perlawanan yang baru," katanya.

S Kumar menjadi wira pasukan apabila menyelamatkan 'shoot out' terakhir selepas kedudukan terikat 2-2 pada masa sebenar.

Dalam saingan sengit separuh akhir itu, India terlebih dulu membuka jaringan pada minit ke-32 hasil pukulan sudut penalti yang disempurnakan Harmanpreet Singh.

Tujuh minit berselang Faizal Shaari menyamakan kedudukan menerusi gol padang hasil serangan balas pantas.

Bagaimanapun gol itu tidak bertahan lama apabila Varun Kumar kembali membawa India di depan menerusi gol pukulan sudut penalti pada minit ke-40.

Ketika India sudah sebelah kaki berada di final, Muhammad Razie Rahim menjaringkan gol padang berbaki seminit permainan untuk membawa ke penentuan penalti.

Malaysia akhirnya menang dengan 7-6 selepas pukulan 'shoot out' ke-20 Sunil Sowmarpet Vitalacharya diselamatkan Kumar.

Disiarkan pada: August 30, 2018 @ 9:46pm
d