arena

Kejayaan Jijoe wajar dibanggakan!

Oleh Haika Khazi

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih berbasikal trek kebangsaan, John Beasley, berharap rakyat Malaysia bangga dengan kejayaan Azizulhasni Awang, menang emas dalam acara pecut individu lelaki di Sukan Asia Jakarta Palembang 2018, semalam.

Malah, Beasley menegaskan beliau berharap kejayaan adalah hadiah 'Hari Kemerdekaan' terbaik dari skuad berbasikal negara kepada buat rakyat Malaysia yang sentiasa memberikan sokongan padu kepada anak buahnya.

Beliau  sendiri berasa bangga dengan kejayaan Azizulhasni itu biarpun mendapat tentangan hebat dari pelumba Jepun, Tomohiro Fukaya dan berharap ia akan menjadi pembakar semangat kepada The Pocketrocketman untuk menang emas dalam acara keirin petang ini.

"Saya harap rakyat Malaysia berasa berasa gembira dan turut menikmati apa yang kami capai di Sukan Asia setakat ini. Saya gembira kerana skuad berbasikal negara dapat mempamerkan persembahan terbaik dan menghadiahkan pingat emas kepada rakyat Malaysia sempena sambutan Hari Kemerdekaan," katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.

Kejayaan Azizulhasni adalah emas kelima kontinjen negara serta menebus kekecewaannya gagal meraih sebarang pingat di Kejohanan Trek Dunia dan Sukan Komanwel gara-gara jangkitan virus. 

Sebelum ini melaporkan Azizulhasni Awang yakin mampu memadamkan rekod Asia 9.77 saat miliknya dalam acara 200 meter (m) pecut individu pada temasya Sukan Asia Jakarta Palembang 2018.    

Azizulhasni yang dikenali sebagai The Pocket Rocketman berkata, dia juga percaya prestasinya akan memuncak apabila turun beraksi dalam tiga acara iaitu keirin, pecut dan berpasukan di Sukan Asia 2018 nanti.

Berikutan itu, Azizulhasni kini menjalani latihan intensif selama kira-kira tiga minggu di Velodrom Nasional Nilai, Negeri Sembilan bagi memastikan mereka mencapai kemuncak prestasi apabila berentap di Velodrom Rawamangun, Jakarta.

Bagaimanapun, Beasley meramal Azizulhasni dan seorang lagi pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, bakal menempuhi saingan sengit dari peserta negara lain terutama dari negara China sebelum berjaya melangkah ke final acara keirin.

"Saya jangkakan saingan memang sengit, namun tiada apa yang mustahil," katanya.

Disiarkan pada: August 31, 2018 @ 3:09pm
d