arena

Pelayaran emas Mohd Fauzi diteruskan

Oleh Daripada Azidan Nahar dan Azlan Muhammad Zain

PADA usia 16 tahun, Mohd Fauzi Kaman Shah sekali lagi mencuri tumpuan apabila menghadiahkan pingat emas tunggal dalam acara pelayaran di Pusat Pelayaran Kebangsaan Indonesia dekat Ancol, hari ini.

Mohd Fauzi juga adalah penyumbang emas termuda pada temasya Sukan SEA Singapura pada 2015 menerusi acara Optmist.

Dia melakukannya sekali lagi apabila mengungguli saingan kelas Open Laser 4.7 sejak hari pertama pada penampilan sulung di Sukan Asia.

"Saya amat gembira kerana berjaya merealisasikan impian mencari emas di sini," katanya yang berasal dari Kedah.

Mohd Fauzi bagaimanapun tampak masih belum puas kerana acara disertainya tidak termasuk dalam acara Olimpik dan sedang menimbang untuk menukar acara bagi membolehkannya beraksi di temasya terbesar di dunia itu.

"Selepas ini saya akan menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) Perak terlebih dulu dan InsyaAllah menghantar keluarga mengerjakan umrah.

"Saya perlu memikirkan beberapa perkara lagi sebelum menukar kelas terutama membabitkan berat badan saya," katanya.

Kejayaan Mohd Fauzi turut diiringi dengan satu lagi pingat perak dan dua gangsa dalam acara pelayaran.

Perak diraih Khairulnizam Mohd Afendy dalam acara Laser Standard lelaki yang membolehkannya turut layak ke Olimpik.

Nur Shazrin Mohamad Latif turut meraih gangsa dalam acara Laser Radial seterusnya layak ke Olimpik Tokyo.

Dua lagi gangsa dikutip dalam acara 470 wanita menerusi Nuraisyah Jamil dan Norashikin Mohamad Sayed serta acara Mix RS One yang disumbangkan Illham Wahab serta Nuur Fatin Solehah Abdul Rahman.

Disiarkan pada: August 31, 2018 @ 7:32pm
d