arena

Cutrone pastikan Milan benam Roma

Oleh AFP

MILAN: Gol daripada pemain gantian Patrick Cutrone memastikan kemenangan pertama buat AC Milan musim ini apabila menewaskan Roma 2-1 di Stadium San Siro, semalam.

Franck Kessie meledakkan gol pertama AC Milan selepas 40 minit beraksi sebelum Cutrone memastikan kemenangan mutlak milik mereka lima minit memasuki masa tambahan sekali gus menyaksikan kekalahan pertama Roma dalam masa tiga tahun di San Siro.

Roma berjaya mengikat Milan 1-1 menerusi jaringan pemain pertahanan Federico Fazio tetapi jaringan yang diledakkan Steven Nzonzi buat Roma dan gol dari penyerang Argentina Gonzalo Higuain untuk AC Milan tidak diiktiraf selepas itu.

Kedua-dua pasukan berusaha melupakan permulaan yang hambar musim ini selepas pasukan bimbingan Gennaro Gattuso tewas 2-3 kepada Napoli minggu lalu biarpun mendahului perlawanan dengan dua gol.

Perlawanan pertama menentang Genoa di San Siro ditunda berikutan kejadian jambatan runtuh di bandar pelabuhan barat itu.

"Satu kesalan yang besar selepas kekalahan kepada Napoli," katanya Gattuso.

"Tapi ia baru perlawanan pertama musim ini. Saya tidak boleh bercakap mengenai perubahan selepas dua perlawanan. Saya tahu bagaimana cara kami bekerja dan kami masih lagi pasukan yang digeruni," katanya.

 

Disiarkan pada: September 1, 2018 @ 9:28am
d