arena

Mahrez bergelut faham strategi Pep

Oleh Agensi

MANCHESTER: Pep Guardiola mengakui ia adalah sukar untuk pemain baharu menyesuaikan diri dengan corak permainan Manchester City selepas Riyad Mahrez yang mencipta rekod sebagai pemain termahal kelab itu sekadar memanaskan bangku simpanan dalam dua perlawanan terakhir.

Pemain sayap Algeria itu menyertai City daripada Leicester musim panas lalu dengan yuran perpindahan bernilai 60 juta pound (RM320 juta) dan diturunkan ketika kelab berkenaan menewaskan Chelsea dalam aksi Piala Perisai Komuniti selain perlawanan pertama menentang Arsenal.

Bagaimanapun, dia hanya bermain selama 31 minit dalam dua perlawananan terakhir sebagai pemain gantian biarpun Guardiola menegaskan pemain berusia 27 tahun itu boleh dianggap berjaya menyesuaikan diri dengan cepat di Stadium Etihad.

"Saya boleh katakan yang dia melakukannya dengan baik terutama cara dia menyesuaikan diri dengan kualiti dimilikinya,"  kata Guardiola ketika sidang media menjelang pertembungan dengan Newcastle United dalam saingan Liga Perdana Inggeris, malam ini.

"Dia seorang pemain yang mempunyai kemahiran cukup tinggi pernah saya lihat. Cuma, sudah tentu banyak maklumat - cara kami mahu bermain, cara kami mahu melakukan memperbaiki kesilapan selepas permainan yang perlu kami lakukan dan dalam semua perkara lain.

"Namun, dia menyesuaikan diri dengan baik, dia dihormati dalam bilik persalinan, itu yang paling penting."

Dalam pada itu, Guardiola dijangka berdepan situasi sukar terutama bagi mencatur taktikal terbaik menghadapi Newcastle yang pastinya turun dengan corak permainan bertahan - sama seperti ketika mereka bertemu Chelsea sebelum ini.

Disiarkan pada: September 1, 2018 @ 10:03am
d