arena

Pedih kecundang di tempat sendiri

Oleh Asrol Awang

RIAK wajah kecewa tidak dapat disembunyikan pengendali Pahang, Dollah Salleh selepas skuad itu tewas 1-3 kepada Selangor, malam tadi.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, dua daripada tiga gol mudah yang dijaringkan Red Giants antara faktor anak buahnya gagal bermain cemerlang.

"Saya tidak tahu untuk memberi ulasan kerana misi utama pasukan adalah meraih kemenangan ke atas Selangor tetapi kekalahan yang dialami pasukan terutama di laman sendiri.

"Lebih mengecewakan, kami masih gagal merekodkan kemenangan apabila beraksi di laman sendiri dalam tiga perlawanan selepas seri dengan Sabah 1-1 dan PKNP FC 0-0.

"Saya juga tidak menolak kemungkinan soal memandang ringan keupayaan lawan yang sudah tersingkir daripada perebutan slot suku akhir Piala Malaysia menyebabkan pemain gagal memberi tekanan kepada Selangor," katanya.

Namun, Dollah mahu anak buahnya tidak patah semangat untuk memastikan kejayaan buat skuad Tok Gajah untuk layak beraksi di saingan suku akhir.

Katanya, biarpun memiliki lebih kelebihan sekiranya PKNP tewas dalam baki dua perlawanan, beliau tidak mahu mengharapkan ihsan berkenaan.

"Sebaliknya, tumpuan kini kepada memperbaiki kelemahan terutama di bahagian serangan yang tumpul hingga memberi kesan terhadap keputusan perlawanan.

"Saya harap pemain leboh bijak dan tampil dengan prestasi lebih baik apabila bertemu Sabah pada aksi terakhir kumpulan D pada 16 September ini," katanya.

Disiarkan pada: September 2, 2018 @ 1:26pm
d