arena

FELDA idam ketuai Kumpulan B

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

PENGENDALI FELDA United, B Satiananthan mahu memenangi perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang Melaka sekali gus muncul juara kumpulan B dalam saingan Piala Malaysia 2018.

Beliau berkata, kemenangan itu perlu dicapai bukan kerana untuk mengelak bertemu lawan yang lebih kuat pada saingan suku akhir sebaliknya bagi mengekalkan momentum kemenangan dan menaikkan moral pemain.

“Kemenangan menewaskan PDRM membawa kita ke suku akhir namun perlawanan terakhir bertemu Melaka nanti kita tidak boleh ambil mudah kita juga perlu memenanginya.

“Mungkin saya akan membuat beberapa perubahan dan menurunkan beberapa pemain muda dalam perlawanan itu nanti,” katanya dalam sidang media selepas tamat perlawanan menentang PDRM yang berkesudahan skuad The Fighters menang 2-0 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, di sini, malam tadi.

Gol FELDA United masing-masing dijaringkan dua penyerang import mereka menerusi sepakan percuma Thiago Augusto pada minit 66 dan tandukan Gilberto Fortunato pada lewat perlawanan memberikan tuan rumah tiga mata berharga.

Mengulas mengenai perlawanan itu, Satiananthan berkata, pemainnya beraksi dengan baik dan berjaya menyempurnakan peluang terhidang.

Katanya, walaupun babak pertama anak buahnya gagal bermain seperti dirancang namun dengan sedikit perubahan dilakukan pada babak kedua skuadnya berjaya menguasai permainan sekali gus menjaringkan dua gol.

“Lepas ini saya akan beri mereka tiga hari cuti sebelum mengadakan perlawanan persahabatan sebagai persediaan menghadapi peringkat suku akhir,” katanya.

 

 

Disiarkan pada: September 2, 2018 @ 1:39pm
d