arena

Mourinho harus bimbing Pogba

Oleh Agensi

LONDON: Jose Mourinho sepatutnya cuba mendapatkan persembahan terbaik daripada Paul Pogba di Manchester United dengan memberi bantuan dan nasihat sebagai ayah, menurut legenda Piala Dunia Perancis, Christian Karembeu.

Karembeu, pemain tengah ketika Perancis menjadi juara dunia pada tahun 1998, menganggap ada sesuatu yang misteri mengapa Pogba bergelut di United berbanding bermain untuk negaranya di Russia pada musim panas lalu.

Beliau berpendapat Mourinho perlu menyedari tugas berat yang ditanggung Pogba di Old Trafford selain kesan peribadi berikutan kematian ayahnya pada tahun lalu.

“Kita semua manusia. Sejak zaman kanak-kanak, ibu bapa apa adalah orang penting untuk membimbing anda, memberitahu anda apa yang terbaik. Saya fikir ia sama bagi seorang pengurus terutama ketika Paul kehilangan bapa,” kata Karembeu.

“Jose sangat mengenali Pogba dan menandatanganinya dari Juventus. Beliau perlu jadi seseorang yang boleh membantu Pogba lebih menyinar.

“Manchester United mempunyai sejarah yang hebat dan tekanan untuk berjaya tidak mudah. Jersi (United) menjadi berat bagi sesiapa saja dan Paul lebih mengetahuinya kerana dia dibesarkan di akademi Manchester yang mana standardnya sama seperti Paul Scholes atau Ryan Giggs.”

Pogba menjadi salah seorang pemain berprofil tinggi selepas menyertai United pada 2016 dengan rekod termahal dunia  £89 juta (RM474 juta).

Namun, persembahannya di Old Trafford jauh berbeza dengan apa yang dia berjaya lakukan ketika membantu Perancis muncul juara Piala Dunia pada musim panas lalu.

Disiarkan pada: September 2, 2018 @ 7:31pm
d